Monday, November 2, 2009

Dr. Asri ditangkap JAIS, agenda siapa?

Cekati Tembaga menulis..

Rata-rata muka depan akhbar hari ini memaparkan berita bergambar penahanan Dr. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Ulu Kelang atas alasan berceramah tanpa permit.

Penahanan Dr Asri dibuat pada jam 12.00 tengah malam setelah Dr. Asri selesai menyampaikan ceramah agamanya yang disaksikan oleh lebih 100 orang tetamu.

Apa yang menjadi persoalan adalah kenapa ceramahnya kali ini, yang kebetulan dibuat di tengah kehangatan isu Memorandum kepada Yang DiPertuan Agung oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendakwa beliau membawa ajaran yang mengelirukan umat Islam.

Apakah alasan untuk menahannya atas kesalahan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah sedangkan sejak sekian lama beliau berbuat demikian tanpa sedikit pun diganggu gugat oleh sesiapa?


Kita tidak sedikit pun berhasrat mempertikaikan hak JAIS untuk menguatkuasakan peraturan keperluan permit ceramah agama seperti mana termaktub dalam Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau apa juga peraturan lain yang bersangkutan, tetapi bukankah tujuan permit itu disyaratkan bagi memastikan orang yang tidak layak agar tidak mengajar agama?

Soalnya apakah Dr Asri tidak layak? Orang yang berkelulusan PhD dalam ilmu hadis dan sentiasa menjadi rujukan tokoh agama lain, apatah lagi dengan wibawa sebagai Mufti pada usia yang sangat muda tidak melayakkannya mengajar agama?

Sudah beratus ceramah agama dibuatnya, sudah beratus mungkin beribu ayat alQuran dan hadith Nabi dikupasnya. Sudah habis ceruk rantau terutama di bumi Perlis dan Pulau Pinang dijejakinya untuk mengajar agama, apakah ini tidak melayakkannya untuk mengajar agama di Selangor?

Apakah soal sekeping surat tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS menjadi perkara yang lebih utama sehingga ilmuan muda ini ditahan di tengah-tengah malam persis menahan seorang guru ajaran sesat?

Apakah tauliah ini lebih diutamakan berbanding pengisian dan butir-butir ilmu yang terhambur keluar dari mulut bekas Mufti Perlis itu?

Kita sedikit pun tidak akan membantah jika penahan Dr Asri ini sekiranya JAIS mendapati beliau mengajar ilmu yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Malah kita juga menyokong JAIS menyekat terus Asri dari mengajar di Selangor jika ajaran yang dibawanya bersalahan dengan apa yang diamalkan seluruh umat Islam.

Tetapi sehingga kini tiada bukti ceramah agama Asri bertentangan dengan Islam. Dr. Asri tidak pernah mendakwa Allah mencarut, memaki untuk membolehkan ia memaki orang lain sebagaimana ada tokoh sanjungan dalam Pas yang pernah berkata "Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia di mana tempatnya." - Utusan Malaysia, 28 April 1999.

Dr. Asri juga tidak pernah mengkafirkan orang lain yang berkongsi kuasa memerintah negara sebagaimana Fatwa Dewan Ulama Pas Kelantan pada Ogos 1963 yang mengatakan
"Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram" - Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1963.

Kita juga tidak pernah mendengar Asri meletakkan agama setaraf dengan parti sebagaimana dakwaan mengarut seorang tokoh yang didewa-dewakan penyokong Pas yang pernah berkata "Menentang PAS adalah Haram mengikut al-Quran." - Berita Minggu, 24 April 1994.

Malah tokoh yang sama mendakwa “Memang ada lagi persefahaman antara PAS dengan Malaikat, sebab itulah APU (Angkatan Perpaduan Ummah) memerintah lagi (di Kelantan)”. – Utusan Malaysia, 27 April 1995. Tetapi kita tidak pernah mendengar Asri mengajar perkara seperti ini.

Bagi mereka yang sering mendengar doa yang dibacakan oleh Dr. Asri, tidak pernah sepatah pun
ia berdoa untuk menghancurkan orang lain walaupun yang tidak mempunyai pandangan yang sama dengannya tetapi ada tokoh dewaan Pas berdoa “Ya Allah, aku mohon butakan mata pengundi-pengundi hantu supaya mereka tidak nampak simbol lain kecuali simbol PAS. “ – Doa yang dibaca oleh tokoh Pas itu pada 27 Mei 1999 dan diaminkan oleh kira-kira 3000 penyokong beliau dalam satu majlis makan malam dan ceramah PAS di Sungai Bakut, Nibong Tebal.

Justeru, kalau apa yang dikatakan kesalahan Dr Asri itu adalah kerana tidak mempunyai permit ceramah agama yang dikeluarkan oleh JAIS begitu serius dan memberi kesan besar atau boleh membawa perpecahan umat Islam di negara ini, sehingga JAIS merasakan Dr. Asri wajib ditangkap maka tangkaplah beliau.

Atau jika JAIS merasakan kerana ceramah agama Dr. Asri yang tidak berpermit itu akan menyebabkan berlaku penyelewengan kepada Islam di Selangor, tangkaplah Asri dan dakwalah. Tetapi ingat dakwaan itu perlulah dibuktikan.

Tetapi jika tidak, JAIS sewajarnya mohon maaf dan menarik balik dakwaan itu.

Sewajarnya JAIS menumpukan kepada orang lain yang sememangnya sentiasa membawa ajaran dan tafsiran yang jelas lagi terang bertentangan dengan ajaran Islam. Seharusnya tokoh itu yang dilarang memberikan ceramah agama bukan sekadar di Selangor malah di mana-mana jua di bumi Malaysia.

Kepada JAIS diingatkan agar sebarang tindakan yang diambil jangan bersendikan hasad dengki atau ketaksuban pengaruh kepartian. JAIS membawa imej jabatan agama yang disegani, jika tindakannya begitu dangkal masakan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama di negara ini akan dihormati.

Belum terlewat membetulkan keadaan, melainkan jika penahanan Dr Asri itu ada agenda tersembunyi.
.

2 comments:

YANG GAMBI said...

Salam, ada blog pro pembangkang seolah-olah menuduh kerajaan UMNO-BN yang menaja penangkapan Mohd Asri.

Biasalah tu...masakan mereka tak tahu, Selangor dibawah kerajaan pakatan rakyat yang mana Dr Hasan Ali adalah Exconya, sepatutnya pihak JAIS lebih peka dengan isu ini kerana kerajaan pakatan yang menentukan arahan penangkapan.

Mengapa mesti timbul perkataan isu politik dalam penangkapan tersebut...

Cekati Tembaga said...

SALAM..
ADALAH AMAT JANGGAL UNTUK PEMBANGKANG KAITKAN PENAHANAN ASRI DENGAN PUSAT KERANA TIDAK ADA HUBUNGAN SAMA SEKALI.

SEBALIKNYA KITA MERASAKAN ADA PIHAK-PIHAK TERTENTU YANG BERKUASA DI SELANGOR DAN JAIS YANG AMAT TIDAK SENANG DENGAN DR.ASRI ATAS SEBAB PERIBADI ATAUPUN LANTARAN KRITIKAN YANG DIBUAT BELIAU TERHADAP PIHAK-PIHAK BERKENAAN.

KITA JUGA CURIGA TENTANG PERKARA INI ADALAH AGENDA PIHAK-PIHAK YANG SENGAJA MAHU MENGAITKAN DR. HASSAN ALI DALAM PENAHANAN DR. ASRI INI MEMANDANGKAN HASSAN ALI ADALAH EXCO YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM HAL EHWAL AGAMA ISLAM DI SELANGOR.

KITA TIDAK HAIRAN KALAU SELEPAS INI PIHAK-PIHAK PEMBANGKANG BERLUMBA-LUMBA MEMBUAT KECAMAN TERHADAP HASSAN ALI KERANA GAGAL MENANGANI ISU INI DENGAN BAIK, WALAUPUN KITA PERCAYA HASSAN ALI TIDAK TAHU MENAHU HAL INI

NIK AZIZ PERMAINKAN KALIMAH ALLAH!

Promote your blog!

Mana-mana yg berkenaan yg nak blog die di link kan dlm blog ni blh tinggalkan pesanan kat komen ek.. peace! :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...