Petang tadi (14/12/09) kira-kira jam 5.00 ptg, sekumpulan kira-kira 100 orang penduduk Permatang Rambai, Pasir Puteh melahirkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak kerajaan Pas Kelantan membaiki jambatan yang runtuh akibat banjir baru-baru ini.
Jambatan ini sejak sekian lama menjadi laluan utama yang menghubungkan Kg Permatang Rambai dengan Bukit Abal, di Pasir Puteh. Sejak setahun yang lepas jambatan ini sudah mulai rosak dan runtuh namun masih boleh dilalui oleh pejalan kaki dan motosikal.
Penduduk telah berkali-kali mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pas Kelantan agar jambatan ini dibaiki namun rayuan-rayuan penduduk hanya disahut dengan janji-janji manis kerajaan pimpinan Nik Aziz.
Dengan runtuhnya jambatan ini, penduduk yang perlu ke pekan Bukit Abal tidak ada pilihan lain selain terpaksa melalui jalan jauh sehingga 5 km termasuklah anak-anak kampung yang belajar di SMU(A) Diniah, Bukit Abal. Baru-baru ini juga ada pelajar kampung ini yang dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki SPM terlibat dalam kemalangan ketika cuba melalui jambatan ini sehingga patah kaki dan motosikalnya terjatuh ke dalam sungai.
Penduduk meminta jambatan ini dibaiki sebelum berlaku kemalangan jiwa kerana mahu tidak mahu mahu mereka terpaksa juga menggunakan jambatan ini walaupun berbahaya kerana ia merupakan satu-satunya pilihan yang ada berbanding menggunakan jalan yang jauh.
Penduduk juga mempersoalkan sikap wakil rakyat kawasan ini yang buat tak endah sahaja dengan aduan dan masalah yang dihadapi rakyat ini sedangkan jambatan ini jugalah yang sering menjadi laluannya sewaktu berkempen pilihanraya dulu.
Bosan dengan sikap berhelah mencari alasan oleh kerajaan Pas, penduduk berkumpul untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan merasakan mereka dianaktirikan oleh kerajaan Pas Kelantan.
Di bawah ini adalah gambar-gambar keadaan jambatan yang runtuh dan bantahan yang dibuat oleh penduduk. Terima kasih kepada Pulas Perut yang telah bergegas ke tempat kejadian sebaik dihubungi oleh penduduk untuk membawakan anda foto-foto menarik.
No comments:
Post a Comment