Sunday, January 31, 2010

Royalti Minyak : Menteri Penerangan terkejut pendirian Ku Li

Cekati Tembaga menulis..

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melahirkan rasa amat terkejutnya dengan pendirian bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang Kelantan berhak mendapat royalti minyak. YBM Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen BN kawasan Gua Musang pada Khamis lepas yang dilaporkan mendakwa kerajaan negeri Kelantan patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan. Ternyata pendirian beliau ini adalah sama sekali bertentangan dengan kenyataan yang dibuatnya pada tahun 2000.
Kepada mereka yang sudah tidak ingat atau tidak sedar kenyataan akhbar Tengku Razaleigh pada tahun 2000 itu, boleh ikutinya di bawah dan membuat penilaian sendiri.

Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1/11/2000.



Minyak : Penjelasan Ku Li - 'Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan'


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.
Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar 'wilayah' mereka.
''Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kawasan kekuasaan negeri itu.
''Dari segi undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenajung tidak ada hak ke atas minyak ini,'' kata bekas Menteri Kewangan itu kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau dilantik menyandang jawatan Pengerusi Petronas pada 5 September, 1974. Ini adalah kenyataan pertama beliau selepas tercetusnya kemarahan kerajaan Terengganu dan parti Pas mengenai isu pemberian wang ihsan menggantikan royalti.
Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2001 semalam berkata, Kerajaan Pusat cuba menafikan hak kerajaan Pas Terengganu dalam isu itu.
Kata Fadzil, penggunaan istilah ''wang ihsan'' adalah tidak tepat kerana semasa kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) perkataan yang digunakan adalah royalti minyak.
Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menegaskan, soal pembayaran wang kepada Terengganu sama ada atas nama wang ihsan atau royalti sepatutnya tidak menjadi isu.
Ini kerana wang tersebut tetap disalurkan kepada rakyat negeri itu.
''Saya rasa yang pentingnya bukan soal wang itu disalurkan menerusi negeri atau Pusat kerana yang pentingnya terjejas atau tidak rakyat Terengganu dalam hal ini.
''Kalau wang itu disalurkan menerusi apa-apa saluran pun dan rakyat tidak mendapat faedahnya serta menanggung kerugian, barulah perkara ini boleh dipersoalkan,'' katanya.
Sehubungan itu Tengku Razaleigh berkata, rakyat harus memberi peluang kepada Kerajaan Pusat dan menilai sama ada cara penyaluran wang ihsan itu menguntungkan atau tidak.
''Tetapi saya percaya cara ini sudah tentu akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat. Kalau menguntungkan rakyat, kenapa hendak persoalkan cara mana duit itu disalurkan,'' katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menolak kemungkinan, Kerajaan Pusat mengambil alih peranan menyalurkan wang tersebut kerana kerajaan Pas Terengganu yang baru memerintah belum lagi mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan projek.
Oleh itu, Tengku Razaleigh menambah biarlah rakyat menentukan sama ada langkah Kerajaan Pusat itu menjejaskan mereka atau tidak.
Bagaimanapun, beliau yakin cara baru itu tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat Terengganu memandangkan Kerajaan Pusat adalah pihak yang mementingkan pembangunan rakyat.
''Takkan Kerajaan Pusat nak kurangkan wang itu atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tak mungkin ini berlaku.
''Kerajaan Pusat adalah berorientasikan pembangunan tentu dia akan bagi segala kemudahan dan projek yang dia boleh rancang dengan baik untuk dilaksanakan,'' katanya.
Pada 5 September lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang itu dalam bentuk projek-projek pembangunan meliputi pendidikan untuk manfaat rakyat dan tidak kepada kerajaan negeri.
Ia akan dibayar melalui kaedah dikenali sebagai Program Pembiayaan Wang Ehsan yang akan dikendalikan oleh satu Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

No comments:

NIK AZIZ PERMAINKAN KALIMAH ALLAH!

Promote your blog!

Mana-mana yg berkenaan yg nak blog die di link kan dlm blog ni blh tinggalkan pesanan kat komen ek.. peace! :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Koleksi Artikel