Sunday, January 31, 2010

Royalti Minyak : Menteri Penerangan terkejut pendirian Ku Li

Cekati Tembaga menulis..

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melahirkan rasa amat terkejutnya dengan pendirian bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang Kelantan berhak mendapat royalti minyak. YBM Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen BN kawasan Gua Musang pada Khamis lepas yang dilaporkan mendakwa kerajaan negeri Kelantan patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan. Ternyata pendirian beliau ini adalah sama sekali bertentangan dengan kenyataan yang dibuatnya pada tahun 2000.
Kepada mereka yang sudah tidak ingat atau tidak sedar kenyataan akhbar Tengku Razaleigh pada tahun 2000 itu, boleh ikutinya di bawah dan membuat penilaian sendiri.

Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1/11/2000.



Minyak : Penjelasan Ku Li - 'Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan'


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.
Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar 'wilayah' mereka.
''Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kawasan kekuasaan negeri itu.
''Dari segi undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenajung tidak ada hak ke atas minyak ini,'' kata bekas Menteri Kewangan itu kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau dilantik menyandang jawatan Pengerusi Petronas pada 5 September, 1974. Ini adalah kenyataan pertama beliau selepas tercetusnya kemarahan kerajaan Terengganu dan parti Pas mengenai isu pemberian wang ihsan menggantikan royalti.
Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2001 semalam berkata, Kerajaan Pusat cuba menafikan hak kerajaan Pas Terengganu dalam isu itu.
Kata Fadzil, penggunaan istilah ''wang ihsan'' adalah tidak tepat kerana semasa kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) perkataan yang digunakan adalah royalti minyak.
Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menegaskan, soal pembayaran wang kepada Terengganu sama ada atas nama wang ihsan atau royalti sepatutnya tidak menjadi isu.
Ini kerana wang tersebut tetap disalurkan kepada rakyat negeri itu.
''Saya rasa yang pentingnya bukan soal wang itu disalurkan menerusi negeri atau Pusat kerana yang pentingnya terjejas atau tidak rakyat Terengganu dalam hal ini.
''Kalau wang itu disalurkan menerusi apa-apa saluran pun dan rakyat tidak mendapat faedahnya serta menanggung kerugian, barulah perkara ini boleh dipersoalkan,'' katanya.
Sehubungan itu Tengku Razaleigh berkata, rakyat harus memberi peluang kepada Kerajaan Pusat dan menilai sama ada cara penyaluran wang ihsan itu menguntungkan atau tidak.
''Tetapi saya percaya cara ini sudah tentu akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat. Kalau menguntungkan rakyat, kenapa hendak persoalkan cara mana duit itu disalurkan,'' katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menolak kemungkinan, Kerajaan Pusat mengambil alih peranan menyalurkan wang tersebut kerana kerajaan Pas Terengganu yang baru memerintah belum lagi mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan projek.
Oleh itu, Tengku Razaleigh menambah biarlah rakyat menentukan sama ada langkah Kerajaan Pusat itu menjejaskan mereka atau tidak.
Bagaimanapun, beliau yakin cara baru itu tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat Terengganu memandangkan Kerajaan Pusat adalah pihak yang mementingkan pembangunan rakyat.
''Takkan Kerajaan Pusat nak kurangkan wang itu atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tak mungkin ini berlaku.
''Kerajaan Pusat adalah berorientasikan pembangunan tentu dia akan bagi segala kemudahan dan projek yang dia boleh rancang dengan baik untuk dilaksanakan,'' katanya.
Pada 5 September lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang itu dalam bentuk projek-projek pembangunan meliputi pendidikan untuk manfaat rakyat dan tidak kepada kerajaan negeri.
Ia akan dibayar melalui kaedah dikenali sebagai Program Pembiayaan Wang Ehsan yang akan dikendalikan oleh satu Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Wednesday, January 27, 2010

Kenapa Anwar tak berani bertindak ke atas Zulkifli Noordin ?

Cekati Tembaga menulis..

Tepat bagai dijangka, Mesyuarat Biro Politik PKR semalam yang dicanangkan seluruh negara akan mengambil tindakan tegas terhadap Zulkifli Noordin hanya sekadar perjumpaan untuk minum teh sahaja.

Kita dari awal lagi sudah menduga, biarpun pelbagai bayangan diberi oleh pimpinan kanan PKR termasuk Anwar Ibrahim sendiri kononnya Zulkifli akan berdepan tindakan tegas parti itu, namun keputusan yang dibuat adalah untuk hanya menghadapkan Zulkifli ke Jawatankuasa Disiplin PKR.

Bukankah dalam mana-mana parti, Biro Politik adalah jawatankuasa tertinggi? Bukankah mereka berkuasa membuat apa jua keputusan melibatkan parti tetapi Biro Politik PKR dalam hal ini mengambil sikap berlepas tangan dengan merujukkan Zulkifli kepada jawatankuasa Disiplin parti?

Inilah sandiwara terbaru ciptaan Anwar Ibrahim. Ia tidak lebih daripada sekadar untuk menawarkan alasan bagi mengelak ditohmah takut berhadapan dengan Zulkifli.

Khabarnya majoriti ahli biro politik PKR mahukan Zulkifli dipecat serta merta kerana dianggap menjadi duri dalam daging kepada pakatan pembangkang.

Tetapi apakah Anwar berani berbuat demikian?

Kenapa Anwar tidak berani berhadapan dengan Zulkifli?

Sebabnya bagi Anwar Ibrahim, Zulkifli Noordin bukan kawan biasa. Zulkifli juga bukan ahli parlimen PKR biasa seperti mana beberapa kerat ahli parlimen Melayu PKR lain yang masih ada. Zulkifli Noordin lain daripada yang lain. Zulkifli adalah satu-satunya orang yang diharapkan Anwar sebagai membawa imej Islam dalam PKR.

Anwar banyak terhutang budi kepada Zulkifli kerana Zulkifli adalah salah seorang daripada deretan panel peguam belanya dalam kes liwat 10 tahun lepas. Pastinya sebagai peguam bela, Zulkifli tahu banyak perkara yang orang lain tidak tahu pasal kes itu.

Memusuhi Zulkifli adalah tindakan yang paling tidak rasional kepada masa depan karier politiknya. Memusuhi Zulkifli umpama membuang perisai paling kukuh dan mendedahkan diri kepada risiko yang amat besar.

Dan Anwar tidak mampu lagi menanggung risiko!

Monday, January 25, 2010

Beranikah Anwar pecat Zulkifli Nordin?

Cekati Tembaga menulis..

SELASA depan akan menjadi penentu kepada PKR dan juga Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen parti itu bagi kawasan Kulim Bandar Bharu kerana pada hari itu Biro Politik PKR akan bersidang dengan dipengerusikan sendiri oleh Anwar Ibrahim bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap ahli parlimen itu kerana membuat laporan polis terhadap Khalid Samad.

Zulkifli pada hari Sabtu lalu telah membuat laporan polis terhadap Khalid berkenaan isu kalimah Allah yang disifatkannya sebagai mengelirukan umat Islam.

Biarpun tindakan Zulkifli ini disambut bagai hero oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang rasional namun ternyata ia cukup tidak disenangi PKR.

Anehnya mengapa PKR yang tidak senang duduk padahal laporan polis itu ditujukan kepada wakil rakyat Pas?

Sepatutnya Pas yang merasa panas pedih kerana ia berkait langsung dengan mereka tetapi para pemimpin Pas mengambil jalan selamat dengan tidak membuat ulasan langsung terhadap tindakan Zulkifli Nordin ini.

Sebaliknya PKR termasuk Anwar Ibrahim sendiri menyatakan kekesalannya dengan tindakan Zulkifli Nordin ini dan lebih berpihak kepada Khalid Samad. Pastinya Khalid dilihat "istimewa" kepada Anwar. Kalau tidak masakan Anwar sanggup lupakan jasa Zulkifli Nordin yang telah bertungkus lumus membelanya dalam perbicaraan liwatnya 10 tahun yang lalu.

Apa lebihnya Khalid Samad di mata Anwar berbanding persahabatan yang telah terjalin lama dibina bersama Zulkifli Nordin sehingga sanggup membuat kenyataan Zulkifli Nordin telah melampau batas?

Sementara Zaid Ibrahim, lawyer buangan UMNO yang dikutip PKR dan dilantik sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat, terang-terang mengusulkan agar Zulkifli dipecat daripada PKR.

Nampaknya dari kanan dan kiri Zulkifli Nordin diserang bertali arus oleh 'sahabat' sendiri. Namun sehingga kini tidak ada tanda-tanda beliau akan mengalah. Jelas sekali beliau masih teguh dengan pendirian asalnya, istiqamah dalam perjuangan iaitu Islam dulu, yang lain kemudian.

Nyata sekali, tidak ada tempat dalam PKR kepada mereka yang memegang prinsip ini. Dalam PKR hanya kuasa. Apa-apa atau sesiapa yang boleh menjejaskan jalan ke arah kuasa itu akan disisihkan.

Selasa nanti adalah hari penentuan. Yang pasti Anwar sudah beri bayangan kononnya tindakan akan dikenakan terhadap Zulkifli. Apa pun bentuk hukuman, tidak penting. Sama ada Zulkifli dibuang atau digantung keahlian mahupun sekadar diberi amaran, ia tidak memberi makna apa-apa selagi tidak mampu merobah istiqamah Zulkifli dalam hal ini.

Anwar sudah tidak dapat menahan desakan beberapa kerat pimpinan dalam PKR dan dua tiga orang spynya dalam Pas. Anwar ternyata tidak punyai pilihan lain kerana semua itu adalah talian hayatnya.

Soalnya beranikah Anwar mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin sehingga ke peringkat memecat?

Jawapannya.. pasti tidak! Anwar akan cipta alasan lagi..

Muzakarah "Hambatan Politik Melayu" di Pasir Mas

Cekati Tembaga menulis..

Malam tadi (24/01/2010) satu program penerangan diadakan oleh Biro Penerangan UMNO Bahagian Pasir Mas bertempat di dewan terbuka, SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas.

Program ini adalah antara siri penerangan bulanan yang giat diadakan oleh UMNO Bahagian Pasir Mas bagi menyampaikan maklumat-maklumat dan perkembangan semasa politik tanahair terutama yang berlaku di Kelantan.

Majlis ini yang dipengerusikan oleh Hj Zainuddin Mohd Noor, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, dinamakan Muzakarah Hambatan Politik Melayu dirasmikan oleh Dato' Haji Hanafi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Zaki bin Mohamad, Ketua Fasilitator Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.

Program ini dihadiri oleh lebih 500 orang dari sekitar kawasan berhampiran. Hadir sama adalah En Abdul Aziz Mohamad, Naib Ketua UMNO Bahagian.

Turut hadir Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian. majlis berakhir jam 12.00 malam.

Hj Ahmad Rosdi Mahmad, Ketua Penerangan UMNO Bahagian sebagai "tuan rumah" menyampaikan kata-kata aluan

Dato' Hj Hanafi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menyampaikan ucapan perasmian

Ustaz Zaki Mohamad menyampaikan ceramah yang mendapat tepukan gemuruh hadirin

Pimpinan UMNO Bahagian Pasir Mas, dari kiri Dato' Hanafi, Aziz, Pn Rita Sarbanon (Ketua Wanita) dan Yusnisamira (Ketua Puteri)

Sebahagian hadirin memenuhi dewan terbuka
.

Saturday, January 23, 2010

Laporan Polis terhadap Blogger Pas..

Cekati Tembaga menulis..
Di saat rakyat Johor meratapi kemangkatan Tuanku Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan bagi negeri Johor, malang sekali ada seekor blogger Pas yang terang-terang sengaja mengundang rasa tidak senang rakyat dengan membuat komen menghina Almarhum di blognya.
Blogger berkenaan Aduka Teruna dalam postingnya semalam menyiarkan kata-kata penghinaan terhadap Almarhum Sultan Johor. Siang tadi apabila menyedari ketelanjurannya itu, blogger Pas ini telah membuang posting berkenaan daripada blognya.
Tetapi ramai yang telah mengambil langkah awal dengan membuat "print screen" posting berkenaan sebagai bukti keceluparan blogger Pas berkenaan.
Kepada yang belum melihat keceluparan dan betapa biadapnya blogger ini sila tengok gambar di bawah. Sila klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas.
Terima kasih kepada blogger GAP kerana telah mendedahkan perkara ini. Difahamkan GAP juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini. Syabas.
Sikap Aduka Teruna mencerminkan perangai sebenar blogger Pas yang sanggup melakukan apa saja untuk menyalahkan orang lain tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat mahupun kebenaran. Kita tidak hairan kerana ini adalah realiti sikap mereka yang mentalnya dah rosak dan akal fikirnya sudah tidak berfungsi.
Kita menyeru pihak berkuasa segera mengambil langkah sewajarnya bagi membendung perkara ini. Laporan Polis sudah dibuat. Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa terutama KDN di bawah Dato' Hishamuddin Tun Hussien.
Nak bukti macam mana lagi?
Kalau seorang budak pelajar ASWARA memberi komen berkaitan Isu kalimah Allah dalam facebook baru-baru ini telah segera diambil tindakan, kita juga mahu melihat tindakan segera pihak berkuasa dalam hal ini.

Sultan Ibrahim Ismail dimasyhurkan sebagai Sultan Johor ke-5


Bicara Kelantan mengambil kesempatan merafakkan sembah tahniah atas perlantikan DYMM Tunku Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan bagi negeri Johor Darul Ta'zim pada hari ini Sabtu 07 Safar 1431 bersamaan 23 Januari 2010.

Kita yakin dan percaya dengan pengalaman luas Baginda dan kemesraan bersama rakyat, Tuanku akan menjadi penaung dan tempat berteduh bagi seluruh rakyat jelata.

Semoga ALLAH merahmati dan memberkati pemerintahan DYMM Baginda Tuanku Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai DYMM Sultan Johor Darul Ta'zim.

Daulat Tuanku !
Daulat Tuanku !
Daulat Tuanku !
.

Sunday, January 17, 2010

Laporan Polis Terhadap Kerajaan Pas Kelantan...

Cekati Tembaga menulis..

Kira-kira jam 11.00 pagi tadi (17/01/2010) Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan membuat Laporan Polis terhadap kerajaan Pas Kelantan berikutan kenyataan Dato' Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mengakui kerajaan Kelantan telah buat kesilapan sehingga terpaksa menanggung kerugian sejumlah RM50 juta.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang berkata pihaknya terpaksa menebus balik bangunan yang sebelum ini diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) setelah projek itu kemudiannya diserahkan kepada sebuah syarikat swasta untuk dibangunkan.

Menurut Nik Aziz, bazar berkenaan akan diberi kepada para peniaga yang terpaksa keluar dari Pasar Arked Uda dan Pasar Lama MPKB. Nik Aziz mengakui terdapat kesilapan yang diistilahkannya sebagai 'kesilapan teknikal' sehingga kerajaan terpaksa beli semula lot-lot bawah Bazar untuk diberikan kepada para peniaga berkenaan.

Ketika menjelang pilihan raya umum lalu, Nik Aziz dikatakan berjanji untuk memberikan aras bawah bangunan berkenaan kepada peniaga di Arked Uda dan Bazar MPKB. Tetapi PMBK telah menjualnya kepada syarikat swasta dan hanya menyediakan lot-lot kedai di aras 1 dan 2 kepada para peniaga berkenaan. Itu pun dengan harga mencecah RM92 ribu berbanding RM 40 ribu di aras bawah yang dijanjikan kepada mereka. Fakta lanjut boleh didapati blog Kickdefella.

Akibatnya pada 13 Disember lalu, Persatuan Peniaga Pasar Besar Lama Arked MPKB mendesak PMBK memenuhi janji Nik Abdul Aziz kepada mereka berhubung perkara ini sehingga memaksa kerajaan Kelantan 'berbuat sesuatu' untuk menjaga air muka Menteri Besar atau dengan kata lain bagi mengelakkan Nik Aziz dituduh munafik kerana tidak menunaikan janji!

Oleh itu pengakuan Nik Aziz itu mencetuskan polemik baru dalam politik dan kerajaan Pas Kelantan selepas krisis dalaman PMBK yang diterajui menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman. Dibimbangi apa yang diakui oleh Nik Aziz itu ada hubungkait dengan menjaga 'air muka' Menteri Besar dengan terpaksa menggunakan wang rakyat.


Lantaran itu Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan melalui Sdr Che Othman Che Wil, Ketua Penerangannya mengambil inisiatif membuat Laporan Polis bagi membolehkan pihak polis menyiasat adakah terdapat kaitan antara keputusan kerajaan negeri menebus balik lot-lot kedai itu dengan menjaga air muka Nik Aziz.


Atau apakah terdapat konspirasi yang dirancang khusus pihak-pihak berkepentingan untuk mengaut keuntungan akibat daripada bayaran tebusan oleh kerajaan negeri ini?

Di bawah ini adalah salinan Laporan Polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO Kelantan.

Wednesday, January 13, 2010

Anakanda dah berenti, Ayahanda nak tunggu bila lagi?

Cekati Tembaga menulis..

Desas desus pengunduran Nik Abduh Nik Aziz, putera Menteri Besar Kelantan daripada 'Pas Kelantan' semakin hampir menjadi kenyataan apabila beliau memilih untuk meletakkan semua jawatannya dalam agensi-agensi kerajaan negeri pimpinan ayahandanya.

Utusan Malaysia melaporkan Nik Abduh berhasrat untuk melepaskan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Pengarah Binaraya PKINK Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Malah ini disahkan lagi apabila Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat itu tidak hadir pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPKB-BRI walaupun menerima surat tawaran daripada pihak berkuasa tempatan itu.
Alasan peletakan jawatan yang diberikan Nik Abduh ialah kerana ingin melanjutkan pelajaran dan menumpukan pada perniagaannya.

Sebelum ini memang terdapat khabar angin yang anak beranak Nik Aziz akan berundur dari pada kerajaan negeri ekoran pelbagai kemelut yang melanda keluarga mereka ditambah dengan hubungan dingin dengan beberapa pimpinan Pas Kelantan termasuk seorang Exco kerajaan Pas negeri ini.
Kita wajar menyokong hasrat Nik Abduh ini yang memilih mengekalkan istiqamahnya dalam menyatakan pendirian biarpun dihimpit dengan pelbagai masalah dan kemelut dalaman Pas negeri ini.

Kita puji kesanggupan Nik Abduh berundur dari jawatan-jawatan berelaun yang cukup selesa itu kerana mempertahankan pendirian mengelak daripada bersekongkol dengan beberapa kerat pimpinan Pas berkepentingan dalam kerajaan negeri.

Semoga Nik Abduh akan beroleh kedamaian yang dicari-carinya.. tapi kita hairan, dalam keadaan segetir ini yang menghimpit anak sendiri, Nik Aziz masih lagi menangguhkan pengundurannya..

Tok Guru, anakanda dah berhenti.. Tok Guru nak tunggu apa lagi...
.

Sunday, January 10, 2010

Hadiah tahun baru Pas kepada Rakyat Pasir Mas...

Cekati Tembaga menulis..

Di bandar Pasir Mas, sempena tahun baru 2010 kerajaan Pas Kelantan memberikan 1 lagi hadiah bermakna kepada seluruh rakyat di daerah ini dengan meng'gazet'kan 2 lagi kawasan baru tempat letak kenderaan bermeter.

2 kawasan lapang berhampiran pasar yang sebelum ini orang ramai bebas meletak kenderaan secara percuma, kini berubah status menjadi kawasan parking bermeter. Sesiapa yang meletakkan kenderaan dengan tidak mengisi tabung meter, awas surat saman akan terselit di wiper kereta anda!

Di kawasan parking bawah pohom jati sebelah Pasar Pagi, atau lebih dikenali sebagai 'pasar mundok' kini tercacak meter-meter parking yang baru minggu lepas dipasang. Kalau sebelum ini kawasan ini akan penuh dengan kereta-kereta orang ramai yang mahu ke pasar berkenaan, kini ruang meletak kenderaan menjadi semakin terhad kerana palang besi turut dipasang untuk menghadkan jumlah kenderaan.

Pemasangan meter parking ini ternyata menyusahkan orang ramai yang mahu ke pasar kerana selain kawasan parking ini, mereka terpaksa berjalan kaki jauh untuk meletak kenderaan.

Kawasan parking pasar mundok ini sememangnya menjadi tumpuan utama untuk orang ramai meletak kenderaan untuk mendapatkan keperluan di pasar.

Di samping pasar mundok, 1 lagi kawasan lapang yang menjadi sasaran kerajaan Pas memasang meter parking adalah di hadapan bangunan Nik Azam, berhadapan dengan pasar besar Pasir Mas.

Kita boleh lihat gambar di atas palang yang menghalang kenderaan masuk rapat ke bangunan dipasang untuk tujuan memisahkan ruang parking. Dengan pemasangan palang ini, kalau sebelum ini dua atau riga buah kereta boleh diletak sebaris, kini hanya 1 kereta boleh diletakkan.

Ia hanya menyebabkan ruang letak kenderaan yang sedia terhad menjadi semakin terbatas.

Sehingga petang semalam, meter parking masih belum dipasang, tetapi tiang meter sudah lebih seminggu diletakkan. Ramai penduduk merungut dengan masalah baru ini.

Sudah la ruang parking terhad, kini ditambah dengan pemasangan meter parking pula.


Tindakan kerajaan Pas melalui Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) memasang meter parking ternyata tidak prihatin terhadap rakyat dan dengan sendirinya menidakkan manifesto pilihanraya Pas 1990 yang berikrar tidak akan melaksanakan parking bermeter di negeri ini.

Apakah kerajaan Pas sudah ketandusan sumber sehingga habis segenap penjuru ruang yang ada akan dipasang meter parking?

Belum puaskah Pas menggadai segala harta pusaka BN dulu sehinggakan kini giat memerah keringat rakyat Kelantan pula?

Inilah nasib berada di bawah pemerintahan Pas, di saat negeri dilanda dihimpit kemerosotan ekonomi, kerajaan Pas pula menambah sengsara rakyatnya.
.

Friday, January 8, 2010

Lebih 1,500 bersama Dato' Pa di DUN Chetok, Pasir Mas..

Cekati Tembaga menulis..

Tahniah UMNO Pasir Mas! Mungkin ini kata-kata yang paling sesuai untuk menggambar kejayaan UMNO Pasir Mas menganjurkan satu majlis yang cukup besar ertinya kepada seluruh rakyat Pasir Mas.

Kehadiran Dato' Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dalam Majlis Dato' Pa Bersama Rakyat anjuran UMNO Bahagian Pasir Mas di Kg Binjal Pohon Tal, Kangkong petang tadi berjaya menarik kehadiran lebih 1,500 orang.

Kehadiran yang jauh melebihi sasaran awal menyebabkan jalan masuk ke Kg Binjal sesak teruk dari jalan besar Kangkong - To' Uban. Ramai yang terpaksa berjalan kaki hampir setengah kilometer untuk ke tempat majlis berkenaan.

Program Dato' Pa Bersama Rakyat ini adalah antara langkah yang diambil oleh UMNO Bahagian Pasir Mas yang diketuai oleh Dato' Hj Hanafi Mamat untuk merealisasikan hasrat UMNO memenangi semula sokongan rakyat.

Kehadiran Dato' Seri Mustapa cukup bermakna kepada rakyat Pasir Mas terutama di DUN Chetok yang sejak sekian lama diwakili oleh wakil rakyat Pas.

Dalam majlis ini juga Dato' Pa menerima borang permohonan menyertai UMNO daripada 102 orang penyokong Pas yang diketuai oleh Tuan Roni Raja Sulaiman.

Apa yang menarik Majlis Dato' Pa Bersama Rakyat ini diadakan di perkarangan markaz Pas cawangan, tempat kegiatan Tuan Roni dan penyokong-penyokong Pas sebelum ini. Dengan penyertaan Tuan Roni dan pengikutnya ini, cawangan Pas kampung ini dibubarkan dan digantikan dengan penubuhan cawangan UMNO Binjal Pohon Tal.

Disiarkan gambar-gambar menarik sepanjang Majlis Bersama Dato' Pa di Kg Binjal Pohon Tal, Kangkong, DUN Chetok Pasir Mas.


Pemidang meraikan kehadiran ke Majlis Dato' Pa Bersama Rakyat


Ketibaan Dato' Pa diiringi oleh 100 buah motosikal pemuda UMNO

Dato' Pa disambut oleh Dato' Hanafi Mamat dan jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Mas


Dato' Hanafi mengiringi Dato' Seri Mustapa Mohamed

Persembahan silat oleh pesilat tempatan menyembut ketibaan Dato' Pa

Dato' Pa 'ralit' memerhati ketangkasan pesilat

Persembahan bertomoi di atas dawai oleh jagoh tomoi yang didatangkan khas dari Thailand

Kehebatan jagoh tomoi Thailand beraksi di atas dawai menarik perhatian hadirin

Tuan Roni Raja Sulaiman mengetuai 102 ahli Pas menyertai UMNO dan dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Cawangan Binjal Pohon Tal


Abe Pi, panggilan mesra kepada Ketua Bahagian Pasir Mas, menyampaikan ucapan aluan


Dato' Pa menyampaikan ucapan

Tuan Roni Raja Sulaiman menyerahkan 102 borang permohonan menyertai UMNO

Dengan pembubaran cawangan Pas, Markas Pas Binjal akan bertukar menjadi Bilik Gerakan UMNO

Pas cawangan Binjal Pohon Tal hanya tinggal nama, markaz pun dah ditakluk UMNO
.

Wednesday, January 6, 2010

Kerajaan Barisan Nasional berjaya tangguh kebenaran penggunaan kalimah Allah

Cekati Tembaga menulis..

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rayuan bagi pihak kerajaan dibuat oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di hadapan Hakim Lau Bee Lau, hakim yang sama ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan pada Khamis lalu, membenarkan permohonan Gereja Katotolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Ini bermakna keputusan Khamis lalu belum dapat dikuatkuasakan oleh pihak gereja.

Tindakan pantas kerajaan Barisan Nasional ini sekurang-kurangnya meredakan sedikit kegusaran hati umat Islam negara ini yang membara apabila mendengar kebenaran yang diberi kepada Gereja dalam hal sensitif ini.

Sejak seminggu lalu, seluruh umat Islam melahirkan bantahan. Bukan menolak toleransi beragama orang lain, jauh sekali mahu mencetuskan huru hara tetapi mempertahankan hak ekslusif Islam sebagai agama rasmi negara yang sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman.

Pada saat Pas masih berbelah bahagi antara memelihara kesucian agama atau menjaga hati tetangga dalam pakatan pembangkang, ternyata UMNO juga yang terkedepan mengambil tanggungjawab memastikan Islam tidak boleh digugat.

Kita hairan sejak isu ini meletus, Pas takut-takut untuk menyatakan pendirian bimbang kalau-kalau akan menjejaskan sokongan dalam pilihanraya. Sebab itu walaupun orang Islam beramai-ramai membantah, Pas lebih bersedia mengambil jalan selamat dengan meminta semua pihak tidak menyalahgunakan kalimah Allah, tanpa sedikit pun mengulas apatah lagi mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Berbeza dengan pendirian yang dibuat oleh Ust Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas yang menganggap keputusan mahkamah itu tidak dapat diterima kerana ia bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam. Beliau menyeru seluruh umat Islam agar bersatu membantah kebenaran yang diberikan selain menyokong rayuan yang dibuat oleh kerajaan.

Begitu juga pendirian Prof Dato' Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am Pas yang berpendirian mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan memihak Herald-The Catholic Weekly boleh membawa kepada kekufuran dan syirik. Sebagai Ulama' terkemuka pastinya beliau telah menimbang pelbagai segi dan sudut demi memelihara kesucian Islam walaupun mendapat tentangan daripada sebilangan dalam Pas sendiri.

Seorang laqi yang senada dengan UMNO membela kalimah Allah ini adalah Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen PKR dari Kulim. Namun perjuangannya membela kalimah suci ini dianggap oleh Khalid Samad sebagai mempunyai 'mentaliti seperti Umno'. Katanya, Zulkifli seharusnya menyelaraskan pandangannya mengikut pendirian partinya, yang mengalu-alukan keputusan mahkamah itu.

Memang menjadi mentaliti UMNO adalah istiqamah dalam perjuangan memastikan kalimah Allah itu dipertahankan daripada disalahgunakan pihak-pihak yang berkepentingan.

Menjadi dasar UMNO mengkalkan Islam sebagai agama rasmi yang tunggal di negara ini dan memastikan umat Islam tidak dikelirukan oleh dakyah agama lain.

Perjuangan UMNO adalah terus menjadi benteng kepada sebarang ancaman terhadap Islam. Dan kalau ini yang dituduh oleh Khalid Samad terhadap Zulkifli Nordin sekongkol dengan UMNO, memang Zulkifli memilih jalan yang betul berbanding jalan yang dipilih oleh partinya.
.

Tuesday, January 5, 2010

Sultan disuruh berubat dalam negara, wakil rakyat Pas dihantar berubat ke China..

Cekati Tembaga menulis..

Apabila Nik Aziz membuat kenyataan akhbar pada November lepas bahawa Mesyuarat Exco Kelantan memutuskan untuk membawa balik Sultan Kelantan berubat dalam negara, saya tidak bercadang memberikan reaksi kerana merasakan ianya tidak sepenting mana.

Biarpun pada masa itu Nik Aziz memberikan alasan lucu yang tidak munasabah iaitu sekiranya dibawa balik Tuanku Sultan berubat dalam negara, rakyat akan merasa dekat dengan Tuanku dan boleh mendoakan kesejahteraan baginda agar cepat sembuh. Agaknya kalau Sultan terus berubat di luar negara, doa Nik Aziz dan rakyat Kelantan tidak sampai.

Sebab itu saya tidak berminat memberikan respon kepada kenyataan Nik Aziz itu. Tetapi semalam sekali lagi Nik Aziz ulangi hasrat kerajaan Kelantan itu dengan membaca apa yang dikatakannya sebagai Laporan Panel Perubatan Sultan Kelantan.

Menurut Nik Aziz panel yang disertai oleh 6 orang pakar perubatan dari beberapa hospital terkemuka dalam negara mengsyorkan agar Tuanku Ismail Petra dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun keabsahan laporan itu diragui apabila dipertikaikan sendiri oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra. Menurut Tengku Temenggung, bagaimana panel perubatan itu boleh menyediakan laporan sedangkan mereka tidak pernah melawat apatah lagi memeriksa baginda Sultan Kelantan sendiri. Kenyataan Tengku Temenggung Kelantan boleh dibaca di sini.

Tengku Temenggung juga melahirkan rasa terkilan kerana kegagalan Nik Aziz mengadap Sultan Kelantan di Singapura walaupun sudah dititahkan mengadap baginda sebanyak 2 kali. Menurut beliau jika Nik Aziz mengadap pastinya beliau dapat melihat sendiri keadaan Tuanku dan dapat melihat perbezaan antara laporan panel yang dilantik kerajaan negeri dengan laporan yang dikeluarkan oleh pihak hospital.

Sejak Mei 2009, Sultan Kelantan menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Tengku Mahkota Kelantan dilantik sebagai Pemangku Raja sehingga kesihatan baginda Sultan kembali pulih.

Kita hairan mengapa Nik Aziz dan kerajaan Kelantan beriya-iya benar mendesak Sultan Kelantan dibawa balik berubat dalam negara?

Apakah benar hasrat kerajaan Pas membawa balik Sultan Kelantan berubat dalam negara kerana kerajaan Kelantan tidak mampu menangung kos rawatan yang mencecah jutaan ringgit?

Atau apakah benar kerajaan Kelantan sudah kehabisan dana untuk menanggung kos rawatan baginda Sultan?

Sebagai rakyat Kelantan, kita merasa cukup terkilan kerana Pas Kelantan begitu tergamak menggunakan alasan merapu dan tidak masuk akal untuk mendesak Sultan dibawa balik. Sejak bila Pas percaya kepakaran doktor-doktor tempatan?

Kita kesal kerana disamping desakan membawa balik Sultan berubat dalam negara, Pas membelanjakan RM200,000 menghantar wakil rakyatnya yang sakit berubat hingga ke China. Baru-baru ini ADUN Galas dihantar menerima rawatan di Guangzhao, China. Kini ada ura-ura nak hantar ADUN Melor pula ke luar negara.

Sultan dia suruh balik, wakil rakyat dia pula dihantar.
.

Monday, January 4, 2010

Masyaallah.. Ada juga orang Islam sanggup gadai agama demi undi

Cekati Tembaga menulis..
Jendela tahun baru 2010 hampir seminggu kita lalui namun tidak seperti mana tahun-tahun sebelum ini, tahun baru 2010 rupanya menjadi titik hitam yang tengik kepada kita umat Islam di negara ini.
Fajar tahun baru disinsing dengan keputusan mengejutkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri kepada Gereja Katolik untuk menggunakan nama Allah dalam penerbitannya adalah tidak sah dan batal. Ini bermakna Gereja Katolitik dibenarkan menggunakan kalimah suci ini dalam apa juga urusannya.

Maknanya setelah lebih 50 tahun merdeka, umat Islam yang tidak pernah dipertikaikan hak ekslusifnya dalam urusan agama, terang-terang dipersenda dan diperlekehkan sehingga kalimah Allah pun orang bukan Islam mahu rampas.

Justeru tidak hairanlah ianya menimbulkan bukan sahaja rasa tidak senang orang Islam, malah seluruh pelusuk negara melahirkan kekesalan yang amat sangat dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini.
Bantahan demi bantahan, demontrasi demi demontrasi, perarakan demi perarakan dibuat oleh pelbagai pihak. Bantahan ini disuarakan parti-parti politik dan NGO dengan tidak mengenal batasan fahaman politik. UMNO dan Pas senada, NGO juga seirama..pokok pangkalnya ini bukan perkara remeh kerana kesannya teramat besar terhadap kestabilan negara ini.
Persoalan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini bukan soal hak atau perundangan semata-mata tetapi lebih dari itu ia menjadi perkara asas dan dasar kepada kedaulatan agama Islam di negara ini. Perlembagaan jelas menegaskan Islam adalah agama rasmi negara, dakyah agama lain sama sekali tidak dibenarkan kepada umat Islam dan undang-undang ini akan kekal sampai bila-bila.
Sebagaimana kenyataan Ust Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas yang mengatakan keputusan mahkamah itu bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam dan ini tindakan yang tidak dapat diterima.
Beliau menyeru seluruh umat Islam agar bersatu menyokong rayuan yang dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri terhadap keputusan itu.
Ia diperkukuhkan oleh kenyataan Nik Aziz yang buat pertama kalinya memberikan pandangan yang selari dengan jumhur Ulama' dengan menentang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam biarpun sejak sekian lama sentiasa memilih jalan kontroversi. Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dalam hal sebegini besar Nik Aziz akur pandangan Ulama lain.
Tetapi malang sekali masih ada wakil rakyat Pas yang begitu berkeras menyokong keputusan mahkamah itu. Saya tidak rela menulis namanya di BICARA KELANTAN kerana ternyata tindakannya bukan hanya memalukan Islam malah meletakkan agama di tapak kasut semata-mata mempertahankan sokongan penganut Kristian kepadanya dalam pilihanraya.

Biarpun terhutang budi kepada orang Kristian yang menyokongnya sehingga berjaya menjadi wakil rakyat tapi apabila orang persenda agama kita sampai begitu sekali sehingga nama Allah pun mahu dirampasnya dan orang Islam kita sendiri menyokongnya, saya serahkan kepada para pembaca untuk menentukan sikap dan kepala otak wakil rakyat Pas ini.
Mulanya saya ingatkan dia seorang saja yang redha nama Allah ini dikongsi dengan agama Kristian tetapi rupa-rupanya dalam senyap kepala pembangkang negara ini juga tidak kisah Allah diguna oleh orang Kristian. Terima kasih kepada Panglima Perang Cyber kerana mendedahkan klip video ini. Pembaca boleh tengok di sini.
Ilmuan Islam terkemuka Prof. Dato' Dr. Haron Din yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, menyatakan mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.
Kepada orang yang lebih pentingkan undi Kristian itu nilai sendirilah..
.

Friday, January 1, 2010

Bekas Menteri Penerangan kembali ke Rahmatullah..

Cekati Tembaga menulis...

Bersaksikan hening pagi Jumaat pertama tahun baru 2010, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat telah kembali ke rahmatullah pagi ini di kediaman beliau di No. 42, Jalan Setiajaya, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Bicara Kelantan merakamkan salam takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara Allahyarham atas kehilangan tokoh ini. Bicara Kelantan difahamkan jenazah beliau akan dikebumikan selepas Asar di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara.
Karier politik Allahyarham bermula dengan menyertai UMNO sejak 1963 dan menjadi Ahli Parlimen Johor Bahru Barat (Pulai) dalam Pilihan Raya Umum 1969.
Melihat kepada ketokohan dan keupayaan beliau sebagai Menteri Penerangan Malaysia dari tahun 1978 sehingga 1982, Perdana Menteri telah melantik beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya Setiausaha Agung Barisan Nasional.
Kali kedua beliau Menjadi Menteri Penerangan adalah pada 1987 hingga bersara pada tahun 1999.
Kementerian Penerangan kini menjadi antara kementerian terpenting negara berkat usaha keras beliau selama ini dan juga dasar-dasar yang diperkenalkan selama 2 kali menjadi Menteri Penerangan.
Sesungguhnya ketiadaan beliau merupakan kehilangan besar kepada negara. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang Soleh.
.

NIK AZIZ PERMAINKAN KALIMAH ALLAH!

Promote your blog!

Mana-mana yg berkenaan yg nak blog die di link kan dlm blog ni blh tinggalkan pesanan kat komen ek.. peace! :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Koleksi Artikel